Dalam visi dan misi Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu (IPGKKB) masing-masing berbunyi, "menjadi institusi pendidikan cemerlang ke arah melahirkan guru bertaraf dunia," dan "membangunkan sumber manusia berkualiti bagi melahirkan guru minda kelas pertama melalui pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum berkesan." Visi dan misi ini digantung di ruang pejabat dan di dinding-dinding setiap jabatan.
Saya menterjemahkan visi dan misi ini dengan menubuhkan Kelab Bahasa Melayu (KEBAYU) pada tahun 2010.
Atas nama KEBAYU saya menganjurkan Seminar Mini Pengajian Melayu (SMPM). Jika tiada masalah, seminar ini akan diwartakan sebagai aktiviti semester dan akan dilaksanakan secara bersiri.
Siri pertama SMPM telah dilaksanakan pada 15 Mei 2011, bertempat di Dewan Seminar 2 (Dewan Gerko), IPGKKB. Dua orang pelajar dari tahun satu dipilih sebagai ahli panel pelopor.
Mereka ialah Edmund ak Austrus dari opsyen Pendidikan Khas, dan Muhammad Ramadhan Muhamad dari opsyen Bahasa Melayu.
Edmund Austrus membentang makalah bertajuk "Analisis Cerpen 'Kasut Kelopak Jantung' Karya Ghazali Lateh dari Sudut Formalistik," manakala makalah Muhammad Ramadhan Muhamad bertajuk "Konflik Masyarakat dalam Cerpen 'Kasut Kelopak Jantung' Karya Ghazali Lateh." Cerpen Kasut Kelopak Jantung merupakan salah satu cerpen yang terdapat dalam antologi Kasut Kelopak Jantung terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, dan menjadi buku teks Komsas tingkatan satu mulai tahun 2010.
Tujuan utama SMPM ialah untuk (a) melatih para pelajar bagi mempersiapkan diri sebagai ahli panel seminar yang berkesan; (b) mendedahkan para pelajar bagi menyediakan makalah seminar yang betul; dan (c) menyebarkan ilmu pengajian Melayu secara praktis.
Saya amat berharap SMPM akan menjadi pemangkin ke arah merealisasikan hasrat IPGKKB dan juga Kementerian Pelajaran bagi melahirkan pelajar dan seterusnya guru yang bertaraf dunia. Dan, yang lebih utama dalam konteks kesusasteraan ialah melahirkan generasi pelapis dalam genre kritikan.