27 Mei 2010

Bilik Sumber Pedagogi Peribumi


"Pendidikan hari ini adalah untuk  kemudahan hidup pada hari depan," demikian tegas Pengarah, IPG Kampus Kota Bharu (IPG -- KKB), Encik Hashim bin Deraman.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Penutup Program Pendedahan Sekolah Pedalaman dan Majlis Pelancaran Bilik Sumber Pedagogi Peribumi di Sekolah Kebangsaan Pasir Linggi (Sekepal), Gua Musang, pada 26 Mei 2010.


Majlis 2  +  1 ini diadakan pada 24 - 26 Mei 2010, bertujuan memberi pendedahan tentang hal ehwal di sekolah kawasan pedalaman kepada para pelajar KPLI  (Bimbingan dan Kauseling, dan Kajian Sosial) ambilan Jun 2009.

Mereka merupakan kumpulan pelajar KPLI ambilan khas yang akan ditempatkan di sekolah-sekolah di kawasan pedalaman mulai bulan Jun 2010.

Sehubungan itu, Tuan Pengarah IPG - KKB meminta dan menasihatkan ibu bapa di Kampung Pasir Linggi khususnya agar sentiasa menggalakkan anak-anak mereka datang ke sekolah pada sepanjang tahun.

Katanya, walaupun pada musim memetik buah atau cuti hendaklah jangan bercuti panjang kerana cuti panjang akan menyebabkan pelajaran anak-anak terjejas.


"IPG - KKB sentiasa bersedia memberi bantuan dan sumbangan kepakaran kepada pihak sekolah bagi memajukan sistem pembelajaran di Sekolah Kebangsaan Pasir Linggi ini," katanya.

Selain itu, Tuan Pengarah juga memberitahu  akan sentiasa menghantar para pelajar ke sekolah untuk membantu sekolah membina alat-alat bantu mengajar, di samping memberi pendedahan kepada mereka.



Menurut beliau, bukti keperihatinan dan kesediaan IPG -- KKB membantu sekolah-sekolah kawasan pedalaman, khususnya Sekolah Kebangsaan Pasir Linggi (Sekepal).

Usaha ini terbukti dengan kewujudan Bilik Sumber Pedagogi Peribumi yang pertama kali diwujudkan.

Bilik ini dilengkap dengan pelbagai bahan bantu mengajar yang merangsangkan.


Dalam ucapan oleh Ketua Murid pula, Adik Amzi mengucapkan terima kasih banyak kepada IPG - KKB, khususnya Tuan Pengarah, pensyarah dan pelajarnya kerana tidak loket membantu murid-murid Sekepal menimba ilmu.

Dari segi sejarah, Sekolah Kebangsaan Pasir Linggi (Sekepal) mula dibuka pada tahun 1970 di bawah pentadbiran Jabatan Hal Ehwal Orang Asli .

Pada peringkat awal Sekepal mempunyai bilangan murid seramai 70 orang. Mereka terdiri daripada suku kaum orang asli Bateq.

Pada 1 Januari 1996, secara rasmi Sekepal diambil-alih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan ditadbirkan oleh guru besar pertamanya, Tuan Haji Abd. Ghani bin Che Omar.

Pada tahun 1997, satu blok bangunan mengandungi dua bilik darjah telah dibina menggantikan bangunan papan yang telah usang bagi menempatkan 90 orang murid.

Mulai tahun 2000, Sekepal mendapat kemudahan Asrama Desa yang  dapat menampung 70 orang murid.

Manakala, pada November 2001, satu lagi bangunan Asrama Desa telah dibina.

Sekarang, Sekepal mempunyai bilangan murid seramai 152 orang . Mereka datang dari Kampung Pasir Linggi dan juga dari  Kampung Aring 5.

Berkenaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekepal adalah bermula pada tahun 2002. Seramai empat orang murid mengambil UPSR.

Pada tahun ini, 2010, Sekepal menjangkakan beberapa orang muridnya akan memperoleh sekurang-kurang 2A dalam peperiksaan UPSR.

16 Mei 2010

Latihan Pembangunan Staf JPM Siri 1

Bertempat di Bilik Gigih, IPG - KKB, Jabatan Pengajian Melayu menganjurkan Latihan Pembangunan Staf Siri 1 kepada 16 orang tenaga pengajarnya, pada 16 Mei 2010. 



Latihan ini diadakan bagi menyebarkan ilmu yang ditimba oleh pensyarah JPM dalam seminar, kursus, bengkel dan sebagainya yang dihadiri mereka sebelum ini.

Selain itu, tujuan LPS ialah agar ilmu yang diperoleh dapat dikongsi (pengkongsian bijak) oleh rakan-rakan sejawatan lain untuk dimanfaatkan dalam pengajaran dan pembelajaran mereka di bilik kuliah. 

Menurut Penyelaras LPS, Encik Ruziman bin Omar, usaha ini telah lama dirancangkan iaitu sejak tahun  lepas lagi.

"Namun, kekangan kerja dan masa telah menyebabkan pelaksanaannya terpaksa ditangguhkan beberapa kali," ujar beliau.



LPS ini telah dirasmikan oleh Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Puan Narita binti Mohd Noor.

Menurut beliau, walaupun pelaksanaan LPS ini mengalami beberapa kali penangguhan, namun aktiviti ini akan terus dijalankan dari semasa ke semasa.

Tambah beliau lsgi, selain memenuhi hasrat IPG, aktiviti LPS seumpama ini akan dijadikan antara aktiviti rasmi Jabatan Pengajian Melayu.

 
"Setiap tahun kita menghantar pensyarah ke pelbagai seminar, kursus dan sebagainya. Kalau ilmu yang diperoleh itu tidak disebarkan kepada warga JPM khususnya dan warga IPG amnya, ia sangat merugikan," tegas beliau. 

Di samping itu, JPM juga berhasrat menjadikan aktiviti mencari dan menyebarkan ilmu sebagai satu budaya dalam diri pensyarah, sesuai dengan misi BPG membangunkan sumber manusia berkualiti dan guru minda kelas pertama.


Pelaksanaan LPS selama dua jam itu ialah berkenaan Kemahiran Penyuntingan Karya Ilmiah yang disampaikan oleh Encik Maniyamin bin Ibrahim dan Puan Zaleha binti Mohd Noor; dan Wacana Pemikiran dan Epistemologi di Alam Melayu yang disampaikan oleh Munsyi Abdullah Mohd Yassin dan Encik Mohamed Shari bin Yusoff.

01 Mei 2010

Wacana Ilmu Kelantan 2010: Terima Kasih DBP

Terima kasih kepada Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, terutama Ketua Bahagian, Encik Mohammad Daud Mohamad dan Encik Jusuh Majid, kerana memilih dan berkerjasama dengan IPG Kampus Kota Bharu menganjurkan Wacana Ilmu Kelantan 2010.

Wacana ini secara langsung mendedahkan ilmu kritikan sastera kepada para pelajar IPG untuk diaplikasikan dalam pembelajaran mereka. Melalui ulasan panel seperti Mohammad Salleh Rahamad, S.M. Zakir dan Encik Maniyamin Ibrahim telah mendedahkan ilmu kesusasteraan dan teknik kritikan yang bermutu.

Pesertanya terdiri daripada pelajar IPG - KKB, para pensyarah, guru dari Kuala Berang dan penulis dari Kelantan.

Sesungguhnya, pelajar IPG mempelajari tentang ilmu kesusasteraan dan teori kritikan sastera. Melalui wacana tersebut telah mendekatkan lagi para pelajar dengan ilmu yang dipelajari di samping mengenali para sasterawan dan ilmuan sastera.

Dalam majlis itu sebanyak tiga kertas kerja telah dibentangkan iaitu menggunakan teori studi budaya, pascakolonial dan sosiologi.

Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Puan Narita Mohd Noor berharap Dewan Bahasa dan Pustaka terus berkerjasama menyalurkan pelbagai maklumat untuk kebaikan pelajar IPG. Justeru, beliau mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Ketua dan pegawai bahagian Teori dan Kritikan Sastera kerana memilih IPG Kampus Kota Bharu bagi melangsungkan Wacana Ilmu Kelantan.