19 April 2010

Kursus Teknik Bercerita Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Melayu

KURSUS TEKNIK BERCERITA 
DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU

TARIKH: 20 - 22 APRIL 2010
TEMPAT: BILIK SEMINAR 1 (BLOK G)
MASA: 8.00 PAGI - 4.30 PETANG

GURU-GURU YANG BERMINAT, SILA BERHUBUNG 
DENGAN ENCIK HASANY DI JPN. TEMPAT TERHAD.

13 April 2010

BIG PISMP Bahasa Melayu



Seramai 56 orang pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) bagi  Semester 1 ambilan Januari 2010 telah berjaya mengikuti WAJ 3114 Bina Insan Guru (BIG). 

Kursus ini bertempat di Tapak Perkhemahan Pulau Poh, Tasik Kenyir,  Terengganu, pada 5 - 7 April 2010. 

Kursus BIG diperuntukan 3 kredit yang bersamaan 120 jam interaksi, merupakan kursus wajib bagi semua pelajar PISMP yang dilaksanakan dalam beberapa fasa. 

Mereka wajib lulus setiap fasa kursus BIG sebelum layak diiktiraf sebagai pendidik.

Menurut Penyelaras dan sekali gus Ketua Jurulatih BIG, Encik Zainol Abidin bin Zakaria, pelaksanaan BIG berasaskan pada kesedaran  bahawa profesion keguruan adalah mulia dan insan guru adalah pembina insan mulia.

Di samping itu, kursus BIG bertujuan membentuk jati diri generasi dan rsebagai ole model masyarakat, khususnya para pelajar di sekolah

Justeru, bakal-bakal guru perlu dilatih dan disemai dengan sikap dan sifat tersebut.

"Melalui aktiviti yang dijalankan adalah diharapkan para pelajar mengenal diri, mampu mengaplikasikan pengetahuan dan pengalaman ke arah pembangunan diri, profesion, dan ikhtiar hidup," tegas beliau.

Kursus tiga hari dua malam itu dipenuhi dengan aktiviti air seperti cara berenang, keselamatan di air, berkayap, mengemudi kayap dalam pelbagai halangan, persembahan kebudayaan, kembara di hutan, ikhtiar hidup bagi merentasi halangan, kecergasan fizikal, mendirikan khemah, memasak dan sebagainya.

Turut hadir sebagai tutor ialah Encik Maniyamin Ibrahim, Encik Ishak Ibrahim, dan Encik Zamri Baba. Manakala jurulatih pula terdiri daripada Encik Zainol Abidin Zakaria, Wan Mohd Din, Haji Norizan, Encik Abdullah Zawawi, dan Encik Zulkifli Yusof.  

Sebelum ini, aktiviti dalam kumpulan bagi Kursus BIG telah dilaksanakan pada bulan Mac di IPG.  

08 April 2010

Kursus Pengajaran Bahasa Melayu Menggunakan E-Lerning dan E-Kamus



Demi memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia dan dalam sistem pendidikan negara, khususnya kepada para guru dan pelajar, maka Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu menganjurkan kursus Pengajaran Bahasa Melayu Menggunakan E-Kamus kepada guru-guru subjek Bahasa Melayu dari seluruh Kelantan.

Kursus yang diadakan selama tiga hari bermula pada 6 April hingga  8 April 2010 bertempat di Dewan Seminar, Institut Pendidikan Guru - Kampus Kota Bharu.Seramai 25 orang guru dari sekolah rendah dan sekolah menengah telah menyertainya. 

    Antara kandungan kursus ialah; 
  1. Definisi E-Learning, fungsi, kandungan dan kepentingannya,
  2. Bahan pengajaran Bahasa Melayu dalam E-Learning,
  3. Takrif kamus dan E-Kamus, dan jenis-jenis kamus,
  4. Fungsi E-Kamus, kata masukan (kata entri), tanda-tanda dan kependekan,
  5. Penggunaan E-Kamus dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, dan
  6. Bengkel, pembentangan dan refleksi.  
Seramai 25 orang peserta, dari sekolah rendah dan menengah, telah dibimbing oleh Encik Abdullah bin Mohd. Yassin, Encik Ibrahim bin Idris, dan Encik Azaha bin Ibrahim, dari Jabatan Pengajian Melayu.   

04 April 2010

Dari Jendela Zaman Ini

Dua buah puisi karya pensyarah dari Jabatan Pengajian Melayu, IPG-KKB, Encik Maniyamin bin Ibrahim (Nassury Ibrahim), telah terpilih dimuatkan dalam Antologi puisi Malaysia & Singapura berjudul Dari Jendela Zaman Ini (From The Window of this Epoch), terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia dan National Arts Council Singapura tahun 2010.

Dua buah puisi Encik Maniyamin atau lebih dikenali sebagai Nassury Ibrahim adalah berjudul 'Tanah Ini Merinduimu (This Land Longs for You),' dan 'Tugu Suara (The Monument of Voice).

Beliau merupakan antara 73 orang penyair dari Malaysia dan Singapura dari dekad sebelum merdeka hingga kini, yang puisinya dimuatkan dalam buku ini.


Antologi ini memuatkan 100 buah puisi karya penyair tersohor dari kedua-dua negara. Puisinya diterbitkan dalam dwibahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Buku ini dijual dengan harga RM40.00 (SGD16.00) senaskah.