Diskusi Pengajian Melayu Siri 4 anjuran Kelab Bahasa Melayu (Kebayu) di bawah tanggungjawab Maniyamin Ibrahim telah menjemput Dr Ting Len Siong, seorang pensyarah pakar ilmu pendidikan dari Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, IPG Kampus Kota Bharu gred 54. Beliau memperkatakan tentang teks dan konteks dalam novel berjudul Rezeki Bumi Bertuah karya beliau sendiri.
Diskusi novel yang diterbitkan sendiri pada 2011 dan diadakan pada 8 Ogos 2011 adalah bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman kepada bakal guru dan pensyarah JPM mengurus dan melaksanakan aktiviti ilmiah, di samping mengupas karya-karya kesusasteraan kontemporari.
Dr. Ting Len Siong merupakan antara penulis yang aktif menghasilkan karya, khususnya berkenaan drama. Sehingga kini, Dr. Ting Len Siong telah menghasilkan tidak kurang daripada 15 buah skrip drama untuk RTM. Beliau juga aktif menjalankan kajian pendidikan dan membentangkan kertas kerjanya di pelbagai seminar pendidikan.
Diskusi yang diadakan di Dewan Seminar, IPGKKB ini juga adalah bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar PPISMP semester dua kerana novel itu telah dipilih sebagai bahan kajian mereka.
Menurut pensyarah Penasihat Kebayu, En. Maniyamin Ibrahim, dengan cara meminta penulisnya sendiri memperkatakan tentang novel berkenaan diharap akan banyak rahsia teks terbongkar dan hal ini akan membantu pelajar cepat memahami, menghayati dan seterusnya melaksanakan dengan sempurna tugasan yang diberi.