16 Ogos 2011

Seminar Mini Pengajian Melayu Siri 2

Bertempat di Dewan Gerko pada 8 Ogos 2011 di IPG Kampus Kota Bharu telah berlangsung dengan jaya Seminar Mini Pengajian Melayu Siri 2 (SMPM2). SMPM2 merupakan siri aktiviti Kelab Bahasa Melayu (KEBAYU) yang saya tubuh pada tahun 2010. 
Nurul Nadia Mazuki
Antara pensyarah yang hadir










Antara pelajar yang hadir
Siti Norzahrah Othman











Sebagaimana SMPM 1, SMPM2 juga membariskan ahli panel dari kalangan pelajar IPGKKB. Mereka ialah Siti Norzahrah binti Othman dengan kertas kerja bertajuk "Wacana Gramatikal dalam Cerpen Paku Payung Limau Mandarin Karya Azizi Haji Abdullah." 

Rakannya, Nurul Nadia binti Mazuki membentangkan kertas kerja berjudul "Wacana Hubungan Semantik dalam Cerpen Paku Payung Limau Mandarin Karya Azizi Haji Abdullah. 

Manakala kawannya, Nik Azri bin Nik Mohamed Arriff, sekadar menyalurkan kertas kerja bertajuk "Tautan dan Penanda Wacana dalam Cerpen Keputusan Karya Nassury Ibrahim."

En Roslan
Antara Pelajar yang hadir










SMPM merupakan siri aktiviti yang saya rancang khusus bagi mendedahkan kepada para pelajar IPG tentang dunia intelektual di luar bidang pedagogi. Aktiviti ini merupakan latihan awal kepada mereka sebagai ahli panel, di samping menjinakan diri sebagai pengkaji dan pengkritik karya kesusasteraan. Semoga pada suatu hari nanti, mereka akan menjadi pengkritik karya kesusasteraan dan seterusnya bertindak sebagai pelonjak graf kesusasteraan tanah air.       

Diskusi Pengajian Melayu Siri 4

Diskusi Pengajian Melayu Siri 4 anjuran Kelab Bahasa Melayu (Kebayu) di bawah tanggungjawab Maniyamin Ibrahim telah menjemput Dr Ting Len Siong, seorang pensyarah pakar ilmu pendidikan dari Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, IPG Kampus Kota Bharu gred 54. Beliau memperkatakan tentang teks dan konteks dalam novel berjudul Rezeki Bumi Bertuah karya beliau sendiri.

 





 


Diskusi novel yang diterbitkan sendiri pada 2011 dan diadakan pada 8 Ogos 2011 adalah bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman kepada bakal guru dan pensyarah JPM mengurus dan melaksanakan aktiviti ilmiah, di samping mengupas karya-karya kesusasteraan kontemporari. 
 
Dr. Ting Len Siong merupakan antara penulis yang aktif menghasilkan karya, khususnya berkenaan drama. Sehingga kini, Dr. Ting Len Siong telah menghasilkan tidak kurang daripada 15 buah skrip drama untuk RTM. Beliau juga aktif menjalankan kajian pendidikan dan membentangkan kertas kerjanya di pelbagai seminar pendidikan. 

 








Diskusi yang diadakan di Dewan Seminar, IPGKKB ini juga adalah bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar PPISMP semester dua kerana novel itu telah dipilih sebagai bahan kajian mereka.

Menurut pensyarah Penasihat Kebayu, En. Maniyamin Ibrahim, dengan cara meminta penulisnya sendiri memperkatakan tentang novel berkenaan diharap akan banyak rahsia teks terbongkar dan hal ini akan membantu pelajar cepat memahami, menghayati dan  seterusnya  melaksanakan dengan sempurna tugasan yang diberi.

09 Ogos 2011

"Profesional Talk"

Pensyarah kanan Jabatan Pengajian Melayu, Tuan Haji Rusli Mahmud, telah dijemput menyampaikan hasil kajian beliau  yang bertajuk "Program Praktikum: Satu Tinjauan Pencapaian Objektif oleh Pelajar PISMP Opsyen Bahasa Melayu.

 





Syarahan sempena Profesional Talk telah diadakan pada 26 Jun 2011 bertempat di Dewan Gerko, khusus kepada para pensyarah IPGKKB.

Turut dihadiri oleh Pengarah dan Timbalan Pengarah IPGKKB, Tuan Haji Hashim Deraman, dan Dr.  Mohd Aziz bin Mohd Din.



06 Julai 2011

Fasilitator Kursus Penulisan Manuskrip

Pensyarah IPG kampus Kota Bharu, Encik Maniyamin Ibrahim telah diundang dan dilantik oleh IPG Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis sebagai fasilitator Kursus Penulisan Manuskrip bagi Program Memartabatkan Bahasa Melayu. 

Kursus yang diadakan sebulan bermula pada 27 Jun hingga 26 Julai 2011 adalah dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan Guru dengan kerjasama IPG Tengku Ampuan Afzan. 

Kursus ini dijalankan di Pusat Latihan Guru Dalam Perkhidmatan (PLGDP) Seri Tualang, Temerloh, Pahang Darul Makmur. Sepanjang sebulan berkursus, beliau dibantu oleh Puan Nor Asiah Ismail, En. Md. Shamsudin, En. Mohd Zaim, dan Encik Amin.

Pesertanya pula terdiri daripada 25 orang guru sekolah menengah dari Terengganu Selantan dan negeri Pahang.

Sepanjang berkursus, peserta diajar tentang cara-cara menghasilkan manuskrip buku, artikel dan jurnal, dan cara menghantarnya. Setiap peserta dikehendaki menghasilkan satu manuskrip sebagai syarat melengkapi kursus dan layak mendapat sijil kursus.

18 Mei 2011

Kursus Pembelajaran Berpusatkan Murid

Bertempat di Sekolah Kebangsaan Sri Wangi 2, Gua Musang, Jabatan Pengajian Melayu menganjurkan kursus di atas pada 3 - Mei 2011.

Kursus ini telah dihadiri oleh 25 orang guru sekolah rendah dari sekitar Daerah Gua Musang, termasuk sekolah di petempatan orang asli. 

Kursus di bawah program Kursus Pendek Kelolaan Institut (KPKI) itu telah dibimbing oleh dua orang pensyarah IPGKKB dan guru cemerlang.

Mereka ialah Encik Maniyamin Ibrahim dan Encik Roslan Wahid dari IPGKKB, manakala guru cemerlang, Encik Nik Nor Ahmarizam bin Nik Ahmad dari SMK Dato' Ahmad Mahir.

Para peserta didedahkan dengan pelbagai teknik pengajaran dan pembelajaran, dan pelbagai teknik drama yang bakal digunakan dalam pengajaran mereka.
  

Kursus Penghayatan Bahan Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu

Seramai 25 orang guru (enam lelaki dan selebihnya perempuan) telah mengikuti dengan jayanya kursus di atas pada 10 - 12 Mei 2011.

Mereka terdiri daripada guru-guru dari Daerah Tumpat, dan guru-guru dari Daerah Pasir Mas.

Sepanjang kursus itu, guru-guru dibimbing oleh Encik Azaha Ibrahim yang memperkatakan bidang kurikulum, Encik Maniyamin Ibrahi
m (prosa moden dan genre drama) dan Puan Fauziah Mohd Noor (puisi moden dan tradisional).

Menurut Encik Jamaludin, guru-guru yang mengikuti kursus ini bakal ditugaskan bagi membimbing guru-guru di sekolah masing-masing, atau membantu Jabatan Pelajaran Negeri mengembangkan maklumat-maklumat baharu dalam bidang pendidikan.

Kursus selama tiga hari ini merupakan Kursus Pendek Kelolaan Institut (KPKI) di bawah program Memartabatkan Bahasa Melayu (MBM).

16 Mei 2011

Seminar Mini Pengajian Melayu Siri 1

Dalam visi dan misi Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu (IPGKKB) masing-masing berbunyi, "menjadi institusi pendidikan cemerlang ke arah melahirkan guru bertaraf dunia," dan "membangunkan sumber manusia berkualiti bagi melahirkan guru minda kelas pertama melalui pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum berkesan." 
Visi dan misi ini digantung di ruang pejabat dan di dinding-dinding setiap jabatan.

Saya menterjemahkan visi dan misi ini dengan menubuhkan Kelab Bahasa Melayu (KEBAYU) pada tahun 2010.

Atas nama KEBAYU saya menganjurkan Seminar Mini Pengajian Melayu (SMPM). Jika tiada masalah, seminar ini akan diwartakan sebagai aktiviti semester dan akan dilaksanakan secara bersiri.

Siri pertama SMPM telah dilaksanakan pada 15 Mei 2011, bertempat di Dewan Seminar 2 (Dewan Gerko), IPGKKB. Dua orang pelajar dari tahun satu dipilih sebagai ahli panel pelopor.

Mereka ialah Edmund ak Austrus dari opsyen Pendidikan Khas, dan Muhammad Ramadhan Muhamad dari opsyen Bahasa Melayu.

Edmund Austrus membentang makalah bertajuk "Analisis Cerpen 'Kasut Kelopak Jantung' Karya Ghazali Lateh dari Sudut Formalistik," manakala makalah Muhammad Ramadhan Muhamad bertajuk "Konflik Masyarakat dalam Cerpen 'Kasut Kelopak Jantung' Karya Ghazali Lateh."
Cerpen Kasut Kelopak Jantung merupakan salah satu cerpen yang terdapat dalam antologi Kasut Kelopak Jantung terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, dan menjadi buku teks Komsas tingkatan satu mulai tahun 2010.

Tujuan utama SMPM ialah untuk (a) melatih para pelajar bagi mempersiapkan diri sebagai ahli panel seminar yang berkesan; (b) mendedahkan para pelajar bagi menyediakan makalah seminar yang betul; dan (c) menyebarkan ilmu pengajian Melayu secara praktis.

Saya amat berharap SMPM akan menjadi pemangkin ke arah merealisasikan hasrat IPGKKB dan juga Kementerian Pelajaran bagi melahirkan pelajar dan seterusnya guru yang bertaraf dunia. Dan, yang lebih utama dalam konteks kesusasteraan ialah melahirkan generasi pelapis dalam genre kritikan.

07 April 2011

Majlis Diskusi Karya Wilayah Timur


Maniyamin Ibrahim memperkenalkan ahli panel,
Dr Fatimah Busu dan Mohd Nazri Ahmad
Pada 6 Mac 2011, Kelab Bahasa Melayu (Kebayu) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur menganjurkan Majlis Diskusi Karya Wilayah Timur. Pemakalahnya terdiri daripada Dr Fatimah Busu yang membicarakan kumpulan cerpen Merpati Menari di Padang Embun karya Zanazanzaly, manakala Mohammad Nazri Ahmad dari UKM membicarakan kumpulan drama Awal Tengah Akhir karya Wan Ahmad Ismail. Seramai 260 peserta telah hadir terdiri daripada pelajar PISMP dan PPISMP opsyen Bahasa Melayu telah hadir. Turut hadir ialah penulis-penulis dari Kelantan dan Terengganu. Berita aktiviti ini telah dilaporkan oleh Nazmi Yaakub dari akhbar Berita Harian Kuala Lumpur, sebagaimana di bawah. 
 

12 Februari 2011

Diskusi Pengajian Melayu Siri 3

Kebayu, JPM IPG-KKB menganjurkan majlis di atas pada 20 Februari 2011 bertempat di Dewan Seminar, IPG-KKB. Tajuk, "Teori Feminisme." Panel: Encik Ruziman bin Omar. Pukul 2.00 petang.

Dijemput khususnya para pelajar PPISMP semester 2 (dari IPG-KKB dan IPG-KSM) kerana diskusi ini berkaitan dengan salah satu tajuk dalam sukatan pelajaran BM2. 

09 Januari 2011

Tahniah Kepada Mahasiswa Pengajian Melayu

Encik Azaha Ibrahim bersama 2 dari 23
hasil kajian pelajar Pengajian Melayu
Sekalung tahniah kepada 23 orang pelajar Pengajian Melayu IPG Kota Bharu kerana berjaya menamatkan pengajian mereka pada tahun 2010. Keputusan rasmi ijazah belum lagi dikeluar.

Mereka ialah Adam Zainufi Ellyyes @ Azmi, Ahmad Rahimi Md Said, Khairudin Ruslee, Lilies Suryanti Azemi, Mohd Firdauz Shariff, Mohd Hamidi Mohd Hamin, Mohd Hazri Abd. Latib, Mohd Imran Sofwani Rohadi, Mohd Khairi Ariffin, Mohd Nurul Syuhada Saad, Mohd Syafiq Shuhaimi, Muhammad Adam Rosali, Muhammad Widad Ishak, Munauwarah Saamin, Nairul Aqmal A. Rahman, Nazita a/p Lai Seng, Nik Arrafi Mat, Norhaslina Mohd Ilham, Nur Nadiyah Indra Gunawan, Nurhazirah Hani So'ot, Nurul A'in Wahida Abu Bakar, Raziman Daud, dan Siti Saadiah Osman.

Kami juga mengucapkan tahniah kepada mereka kerana berjaya menyiapkan kajian pendidikan masing-masing.

Semoga segala ilmu yang diperoleh, baik ilmu pedagogi mahupun ilmu kajian penyelidikan, dapat diamalkan sepanjang berkhidmat sebagai guru. Dan, semoga 23 orang pelajar ini akan menjadi kebanggaan sekolah di tempat bertugas masing-masing.

Selamat Tahun Baru 2011

Selamat tahun baru 2011 kepada semua ahli jabatan. Semoga tahun baru ini akan memberi semangat baru dengan azam baru dan citarasa baru. Lebih-lebih lagi apabila ada usaha membaharukan pengurusan. Kami di jabatan sentiasa menyokong pihak pengurusan demi meletakkan IPG bertaraf dunia.

Kami juga merakamkan ucapan terima kasih kepada IPG Induk kerana telah menghantar seorang pensyarah baru, Encik Roslan Abdul Wahid, ke Jabatan Pengajian Melayu. Ini menjadikan kekuatan kami berkapasiti 17 orang. Dengan adanya penambahan ahli baharu ini akan melicinkan lagi pengurusan di peringkat jabatan. 

Kepada Encik Roslan diucapkan selamat menempuh dunia baharu di IPG. Manakala kepada ahli lama diucapkan selamat kembali bertugas setelah hampir dua bulan bercuti.