24 Mac 2010

BIG PGSR Bahasa Melayu


Seramai 30 orang pelajar PGSR opsyen Bahasa Melayu berjaya mengikuti  Fasal 1 Kursus Bina Insan Guru (BIG) anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar, IPG Kampus Kota Bharu.


Kursus tiga hari dua malam itu diadakan di Tapak Perkhemahan Pulau Poh, Tasik Kenyir, pada 21 - 23 Mac 2010. 


Hadir sama ialah tutor kedua-dua opsyen, iaitu Encik Maniyamin bin Ibrahim, dan Ustaz Shukri Brahim. 



Kursus BIG ini dijalankan serentak dengan pelajar PGSR opsyen Pendidikan Agama. 




Fasilitator kursus ialah Encik Wan Ghazali bin Wan Ibrahim, kaunselor  pelajar dari Jabatan HEP,  manakala  Tuan Haji Mohd Noor Awang  dari Unit Gerko bertindak sebagai Kem Komandan. 




Beliau dibantu oleh Tuan Haji Wan Mohamad Zir (Unit Gerko), Encik Wan Mohd Din (Ketua Unit Gerko), Encik Zainol Abidin bin Zakaria ( Pegawai BIG, HEP), Ustaz Mohammad bin Ayub  (JAPIM), dan Encik Norman (Pegawai HEP).




Pelaksanaan aktiviti sepanjang kursus BIG ini  dipantau oleh Tuan Haji Shaari Nawi dari Jabatan HEP. Turut hadiri merasmi dan memeriahkan aktiviti BIG ialah Tuan Pengarah IPG-KKB, Encik Hashim bin Deraman. 

 
 
Antara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang kursus BIG ini ialah Latihan dalam Kumpulan (LDK), Kawat Kaki, Persembahan Kebudayaan, Takzirah, Keyakinan di Air, Berkayak, Berenang, Kembara dan Ikhtiar Hidup.




Mereka dipimpin oleh wakil peserta yang bertindak sebagai Penghulu dan Penghuli Kursus, iaitu Tuan Haji Zakaria, dan Puan Jamilah Hamzah.



Pengarah IPG-KKB dalam ucapannya kepada peserta kursus berharap agar para peserta dapat mepertingkatkan pengetahuan, keyakinan dan keupayaan diri dalam menghadapi dan halangan kursus serta dapat diaplikasikan dalam kerjaya sebagai seorang guru.




"Syukurlah. Dalam keadaan ekonomi IPG-KKB gawat,  dapat juga BIG Fasal 1 ini dilaksanakan bagi memenuhi tuntutan kursus," kata beliau. 

Kursus Strategi Pengajaran Bahasa Melayu Berkesan

Seramai 25 orang guru sekolah rendah dan sekolah menengah dari seluruh Kelantan mengikuti Kursus Strategi Pengajaran Bahasa Melayu Berkesan.

Kursus yang diadakan pada 23 - 25 Mac 2010 bertempat di Dewan Seminar, IPG-KKB, dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Melayu dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan. 

Fasilitator kursus terdiri daripada Tuan Haji Rusli Mahmood, Sheikh Roslam


Sheikh Abdullah, dan Mohamed Shari bin Yusoff.

Antara kandungan kursus ialah Isu-Isu dalam P & P Bahasa Melayu, Konsep dan Strategi P & P Berkesan, Bengkel Perancangan P & P Berkesan, SQ3R, OK5R, 3S, dan 5W1H.

Kursus dipantau oleh Hassany bin Hashim dari Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.

Hassany dalam ucapannya berharap guru-guru dapat menimba ilmu sebanyak mungkin untuk dimanfaatkan dalam pengajaran di sekolah nanti.

Kursus Pemantapan Tatabahasa Bahasa Melayu

Seramai 25 orang guru Dari sekolah menengah (10 orang) dan sekolah rendah (10 orang) telah berjaya mengikuti Kursus Tatabahasa Bahasa Melayu anjuran JPM pada 9 - 11 Mac 2010.

Kursus yang bertempat di Dewan Seminar IPG - KKB telah dibimbing oleh tiga orang fasilitator dari JPM, iaitu Tuan Haji Rusli Mahmood, Encik Abdullah Mohd Yassin, dan Encik Azaha Ibrahim.

Kursus ini dirasmikan pembukaan oleh Tuan Haji Yajid Yakob, Timbalan Pengarah IPG - KKB. Beliau berharap para peserta dapat memanfaat ilmu yang diperoleh untuk memperkasakan diri, sekolah, murid dan seterusnya profesion perguruan. 

Manakala perasmian penutupnya telah dilaksanakan oleh Encik Hassany b. Hashim.

Beliau amat berharap agar guru-guru di Kelantan dapat menanamkan sikap "rindu akan kejayaan pelajar dan benci kegagalan pelajar."

"Untuk mencapai hasrat itu, guru-guru haruslah mempunyai indikator sebagai seorang guru, khususnya dari segi sikap dan keupayaan." tegas beliau.

Daripada tinjauan yang dilakukan, para peserta berpendapat kursus ini wajar diteruskan kerana dapat memberi input-input baharu, di samping mengembalikan semangat dan azam baharu. 

10 Mac 2010

KPKI - JPM

Jabatan Pengajian Melayu (JPM) menawarkan sebanyak 11 kursus kepada guru-guru dari seluruh Kelantan. Kursus di bawah skim Kursus Pendek Kelolaan Institut (KPKI) bertujuan memartabatkan bahasa Melayu, meningkatkan tahap kemahiran dan profesionalisme guru-guru Bahasa Melayu.

11 kursus yang ditawarkan itu ialah JPM1001 Kursus Pedagogi Bahasa Melayu Berkesan; JPM1002 Kursus Pengacaraan Majlis; JPM2003 Bengkel Teknik Mengajar Penulisan Karangan; JPM1004 Kursus Pemulihan Bahasa Melayu; JPM1005 Bengkel Pengajaran Bahan Sastera Dalam Subjek; JPM1006 Kursus Kaedah Pengajaran Asas Membaca dan Menulis; JPM1007 Kursus Kemahiran Belajar Bahasa Melayu; JPM 1008 Kursus Penataran Tatabahasa Bahasa Melayu;  JPM1009  Kursus Etiket Sosial dan Kesantunan Berbahasa; JPM1010 Kursus Pengucapan Awam Berkesan; dan JPM1011 Bengkel Penulisan Kreatif (Pantun dan Sajak / Cerpen / Berita & Kritikan).

Kursus ini terbuka kepada guru dari sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah menengah kebangsaan, sekolah menengah agama, dan sekolah swasta.

Semua kursus itu diadakan bergantung pada permintaan daripada pihak sekolah. Justeru, pihak sekolah yang berminat boleh memohon  kepada JPM untuk menganjurkan  kursus berkenaan di sekolah masing-masing melalui Setiausaha Latihan Dalam Perkhidmatan, IPG - KKB.

Segala urusan pengangkutan, makan-minum dan kenang jasa di bawah tanggungjawab pihak pemohon.  JPM hanya menyediakan khidmat fasilitator sahaja.  

08 Mac 2010

Kursus Pemantapan Tatabahasa

Selamat datang kepada peserta Kursus Pemantapan Tatabahasa anjuran JPM pada 9 - 11 Mac 2010, bermula jam 8.00 pagi - 4. 30 petang, bertempat di Dewan Seminar 1 (bersebelahan Unit Praktikum - Blok G). 

Seramai tiga orang pensyarah telah dilantik sebagai fasilitator kursus,  iaitu Encik Abdullah bin Mohd Yassin (Munsyi Dewan), Tuan Haji Rusli Mahmood, dan Encik Azaha Ibrahim. Manakala Encik Mohamed Shari Yusoff bertindak sebagai penyelaras kursus untuk para peserta berhubung sekiranya terdapat sebarang pertanyaan.

Diharapkan peserta kursus dapat memanfaatkan sepenuh atur cara yang ditetapkan demi memperkasakan diri dan profesion, dan Bahasa Melayu di sekolah.

07 Mac 2010

Memartabatkan Bahasa Melayu

Jabatan Pengajian Melayu (JPM), IPG Kampus Kota Bharu menyahut cabaran dan usaha kerajaan bagi memartabatkan bahasa Melayu. Bagi mencapaikan hasrat tersebut, JPM sedang merangka beberapa  kursus untuk ditawarkan kepada guru-guru di Kelantan.

Antara tajuk kursus yang dicadangkan ialah (a) Kursus Pemantapan Tatabahasa dalam Pengajaran Bahasa Malaysia (9 - 11 Mac 2010), (b) Strategi Pengajaran Bahasa Melayu Berkesan (23 - 25 Mac 2010), (c) Teknik Bercerita dalam Pengajaran Bahasa Melayu (6 - 8 April 2010), (d) Pengajaran Bahasa Melayu Menggunakan E-Kamus (20 - 22 April 2010), (e) Bengkel Penulisan dalam Pengajaran Bahasa Melayu (4 - 6 Mei 2010), (f) Komputer dalam Pengajaran Bahasa Melayu (18 - 20 Mei 2010), (g) Strategi Pengajaran Puisi Tradisional (6 - 8 Julai 2010), dan (h) Kursus Kreativiti dan Didik Hibur dalam Pengajaran & Pembelajaran Bahasa Malaysia (20 - 22 Julai 2010)

Menurut Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Narita Mohd Noor,  "semua kursus tersebut dijalankan adalah bertujuan memartabatkan bahasa Melayu sebagai teras membina jati diri bangsa dan negara bangsa, di samping memperkukuhkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan."

Menurut beliau, sasaran kursus ialah kepada guru-guru yang mengajar subjek Bahasa Melayu di sekitar Kelantan, sama ada dari sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan mahupun sekolah menengah.

"Diharapkan guru-guru dapat merebut peluang yang ditawarkan ini demi menambahkan ilmu dan mempertingkatkan keupayaan diri melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah," ujar beliau.